BANGKOK, 19 MEI – Parti Komunis Vietnam mencalonkan Menteri Keselamatan Awam, To Lam menjadi Presiden baharu negara itu, selepas pendahulunya meletak jawatan sebagai sebahagian daripada pembersihan menyeluruh antirasuah, kata media kerajaan kelmarin.
Menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA), jawatankuasa pusat parti itu bersetuju dengan pencalonan Komrad To Lam, ahli Biro Politik, Menteri Keselamatan Awam untuk dipilih sebagai Presiden.
Beribu-ribu orang termasuk pegawai atasan dan pemimpin perniagaan kanan telah terperangkap dalam tindakan keras negara itu terhadap rasuah, diketuai oleh Setiausaha Agung Parti Komunis Nguyen Phu Trong.
Jawatankuasa pusat parti itu bersetuju dengan ‘pencalonan Komrad To Lam, ahli Biro Politik, Menteri Keselamatan Awam untuk dipilih sebagai Presiden’, lapor VNA.
Lam, 66, dilantik menjadi Menteri Keselamatan Awam sejak 2016 dan mengambil tindakan keras terhadap pergerakan hak asasi manusia di negara komunis itu.
Pencalonannya berikutan peletakan jawatan, Vo Van Thuong pada Mac selepas hanya setahun sebagai Presiden, menjadi pemimpin berprofil tinggi terbaru yang ‘jatuh’ dalam usaha antirasuah.
Tran Thanh Man, 61, turut dicalonkan sebagai ketua baharu Perhimpunan Negara Vietnam, menjadi antara seorang daripada empat pemimpin paling berkuasa di negara itu, menurut media kerajaan.
Man, yang kini Timbalan Pengerusi perhimpunan negara menggantikan Vuong Dinh Hue, diminta untuk berundur bulan lalu kerana pelanggaran dan salah laku. – AFP


