Friday, January 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam catat kadar kelahiran terendah 2024

    HANOI, 30 DIS – Vietnam mencatatkan kadar kelahiran terendah dalam sejarah pada 2024 dengan kadar kesuburan keseluruhan turun kepada 1.91 anak setiap wanita, menurut laporan agensi berita Vietnam, VNA, yang memetik Pihak Berkuasa Penduduk Vietnam di bawah Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Penurunan kadar kelahiran itu mencerminkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan, daripada 2.11 anak setiap wanita pada 2021 kepada 2.01 pada 2022, dan seterusnya kepada 1.96 pada 2023, menurut laporan tersebut.

    Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penduduk Vietnam, Pham Vu Hoang, berkata jika kadar kesuburan yang rendah itu berterusan, populasi Vietnam dijangka mula menyusut selepas 2054.

    “Unjuran menunjukkan kemungkinan penurunan tahunan sebanyak 0.04 peratus antara 2054 hingga 2059, dan 0.18 peratus antara 2064 hingga 2069, bersamaan dengan purata kehilangan 200,000 orang setiap tahun.

    “Sebaliknya, mengekalkan kadar kesuburan pada paras penggantian 2.1 dapat memastikan pertumbuhan tahunan sebanyak 0.17 peratus, iaitu peningkatan kira-kira 200,000 orang setiap tahun,” katanya.

    Kementerian Kesihatan Vietnam sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Penduduk yang dijangka dibentangkan kepada Dewan Negara pada 2025.

    Draf RUU tersebut mencadangkan langkah untuk mengekalkan kadar kesuburan pada paras penggantian, termasuk pemansuhan penalti bagi keluarga yang mempunyai anak ketiga, galakan kepada wanita untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun, dan melahirkan dua anak sebelum usia 35 tahun.

    Vietnam menjadi negara ketiga paling ramai penduduk di Asia Tenggara dan ke-15 di dunia apabila populasinya melebihi 100 juta pada 2023.

    Negara Asia Tenggara itu memasuki tempoh keemasan populasi pada 2007 selepas secara rasmi mencapai kadar kesuburan penggantian pada 2006.– Xinhua

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda