Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam catat kemasukan lebih 9.2 juta pelancong asing awal tahun

    HANOI, 8 JUN – Vietnam menerima lebih 9.2 juta pelancong antarabangsa dalam lima bulan pertama 2025, meningkat 21.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan Malaysia berada dalam kelompok 10 pasaran utama, lapor Agensi Berita Vietnam, VNA memetik Pihak Berkuasa Pelancongan Kebangsaan Vietnam (VNAT).

    Pada Mei sahaja, negara itu mencatatkan ketibaan 1.53 juta pelancong asing, meningkat 10.5 peratus berbanding tahun lalu. 

    Pengendali pelancongan menyifatkan angka ini sebagai pencapaian kukuh meskipun musim kemuncak pelancongan telah berakhir, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi 10 tahun bagi bulan itu.

    Hasil pelancongan dari Januari hingga Mei dianggarkan mencecah AS$1.47 bilion, meningkat 24.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.

    Perjalanan udara menyumbang 85.2 peratus daripada ketibaan, diikuti dengan laluan darat  sebanyak 12.9 peratus dan laut, 1.9 peratus.

    Meskipun mempunyai garis pantai yang panjang dan infrastruktur pelabuhan, VNAT memaklumkan bahawa pelancongan maritim masih belum diterokai sepenuhnya.

    China kekal sebagai pasaran utama dengan 2.36 juta pelawat, diikuti Korea Selatan dengan lebih 1.9 juta.

    Pasaran utama lain termasuk Taiwan (533,000), Amerika Syarikat (375,000), Jepun (342,000), Kemboja (325,000), India (272,000), Australia (241,000), Malaysia (221,000) dan Rusia (210,000).

    Pihak berkuasa pelancongan Vietnam berkata bahawa usaha promosi akan diteruskan bagi mencapai sasaran 22 hingga 23 juta pelancong antarabangsa pada 2025. – Bernama/VNA

    Vietnam catat kemasukan lebih 9.2 juta pelancong asing awal tahun. – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda