HANOI, 29 MAC – Kadar jenayah di Vietnam menurun lebih 13 peratus dalam suku pertama tahun ini, berbanding suku keempat 2022, menurut laporan akhbar tempatan Vietnam News, hari ini.
Semasa tempoh tiga bulan tersebut, polis Vietnam telah merekodkan 8,901 kesalahan tatatertib sosial dan menahan 20,298 orang suspek, menurut Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.
Sementara itu, polis turut mengesan 708 jenayah berkaitan dengan rasuah dan 10,899 kesalahan berkaitan dadah, dan merampas 177 kilogram heroin, lebih 1.1 tan dadah sintetik dan 419,000 tablet dadah sintetik, menurut kenyataan kementerian.
Pihak polis ditugaskan untuk terus mempromosikan penyelesaian untuk mencegah dan mengurangkan jumlah kes jenayah.
Mereka juga digesa untuk mempercepatkan kes siasatan di bawah pemantauan Jawatankuasa Pusat bagi Anti Rasuah, segera mengesan jurang dan kelemahan dalam dasar pengurusan ekonomi, dan cadangan penyelesaian untuk mengatasinya. – Xinhua