HANOI, 1 JAN – Vietnam mencatatkan jumlah kedatangan pelancong antarabangsa sebanyak 12.6 juta pada 2023, meningkat 3.4 kali ganda berbanding 2022, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Pejabat Perangkaan Am negara itu.
Jumlah itu jauh melebihi sasaran 8 juta pelancong asing yang ditetapkan untuk tahun itu, tetapi hanya mencapai 70 peratus daripada tahap pra-pandemik pada 2019, kata pejabat itu.
Pelancong asing itu kebanyakannya dari Asia, mencatatkan jumlah sebanyak 9.78 juta, meningkat 3.8 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, diikuti oleh Eropah de-ngan hampir 1.46 juta, meningkat 2.9 kali dan Amerika dengan 903,800 meningkat 2.3 kali ganda.
Dalam kalangan kedatangan pelancong asing ke Vietnam pada 2023, hampir 11 juta membuat perjalanan melalui udara, menyumbang 86.9 peratus daripada jumlah itu dan menunjukkan peningkatan sebanyak 3.3 kali tahun ke tahun.
Kira-kira 1.5 juta menggunakan pengangkutan darat dan 126,100 yang lain memasuki Vietnam melalui laluan laut.
Hasil daripada perkhidmatan penginapan dan makan pada 2023 dianggarkan mencecah AS$27.7 bilion, menyumbang 10.8 peratus daripada jumlah pendapatan negara daripada perkhidmatan dan runcit, menandakan peningkatan sebanyak 14.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. – Xinhua
