Vietnam catat satu kes import

HANOI, 17 JUN – Vietnam hari ini mengesahkan satu kes import baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai 335 orang, kata Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan COVID-19.

Kes terbaharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun, baru balik dari Kuwait kelmarin, dan transit di Qatar.

Sejurus tiba di lapangan terbang antarabangsa Tan Son Nhat, di Ho Chi Minh beliau segera dikuarantin, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Beliau didapati positif selepas menjalani ujian saringan, lelaki itu kini dikuarantin dan dirawat di hospital.

Setakat pagi ini Vietnam masih mengekalkan tiada jangkitan tempatan untuk 62 hari berturut-turut.

Daripada 335 kes yang direkodkan di negara ini, 195 membabitkan kes import dan yang dikuarantin semasa ketibaan.

Sementara itu, sebanyak 325 pesakit sembuh dan sifar kematian.

Kira-kira 7,250 kontak rapat pesakit atau berasal dari daerah yang terjejas wabak COVID-19 kini dikuarantin. – Bernama