Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam-China sambut 50 tahun kejatuhan Saigon

    HO CHI MINH, 30 APRIL – Vietnam mengadakan sambutan terbesar sempena ulang tahun ke-50 kejatuhan Saigon hari ini, dengan kehadiran tentera China buat kali pertama selepas lawatan Presiden Xi Jinping yang ingin menggambarkan Beijing sebagai rakan lebih dipercayai berbanding Washington.

    Sebuah perarakan besar diadakan di bandar yang kini dinamakan sempena pemimpin revolusi, Ho Chi Minh. Wartawan AFP melihat sebuah perarakan berhias berbentuk bunga teratai membawa potret Ho Chi Minh di barisan hadapan, manakala jet pejuang dan helikopter yang membawa bendera terbang di ruang udara.

    Ribuan penduduk termasuk keluarga bersama anak kecil dan warga emas, ramai mengenakan kemeja-T berlambangkan bendera Vietnam bermalam di jalanan, berkongsi makanan sambil menunggu pertunjukan bermula.

    Sambutan ini diadakan 50 tahun selepas kereta kebal Vietnam Utara yang berfahaman komunis merempuh pintu Istana Presiden, menewaskan Vietnam Selatan yang disokong Amerika Syarikat (AS), dan memberi tamparan hebat kepada reputasi moral serta ketenteraan AS.

    “Saya bangga dapat menyumbang kepada pembebasan selatan,” kata veteran berusia 75 tahun, Tran Van Truong, yang datang dari ibu negara Hanoi dengan berpakaian seragam tentera penuh untuk menyaksikan perarakan.

    Tentera China mengambil bahagian dalam perarakan sempena ulang tahun ke-50 kejatuhan Saigon dan tamatnya Perang Vietnam di Bandar Ho Chi Min, kelmarin. – AFP

    “Tapi apa yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Saya tiada kebencian terhadap pihak lawan dahulu,” katanya kepada AFP. “Kita seharusnya berganding bahu menyambut berakhirnya peperangan.”

    Kira-kira 13,000 orang, termasuk veteran, anggota tentera dan orang awam, berarak di Jalan Le Duan, salah satu laluan utama di Bandar Ho Chi Minh yang menuju ke Istana Kemerdekaan.

    Buat kali pertama, lebih 300 anggota tentera dari China, Laos dan Kemboja turut serta dalam pertunjukan tersebut.

    Menurut media kerajaan, lebih 300,000 tentera China pernah terlibat dalam konflik berdarah itu, memberikan sokongan pertahanan anti-pesawat yang penting serta membantu logistik dan bekalan.

    Namun ini kali pertama tentera China menyertai sambutan peringatan berskala besar tersebut.

    Empat tahun selepas tamat Perang Vietnam, China sendiri pernah menyerang Vietnam, tetapi berjaya dipatahkan oleh tentera Hanoi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda