Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam diselubungi asbut toksik

    HANOI, 3 JAN – Asbut tebal melanda Hanoi hari ini, menutup bangunan dan menyebabkan sembilan juta penduduk terperangkap dalam udara beracun, ketika ibu kota Vietnam menduduki tempat teratas dalam senarai bandar utama paling tercemar di dunia.

    Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka dan mengehadkan masa di luar rumah, namun para pengguna jalan raya memberitahu AFP bahawa mereka menghadapi kesukaran bernafas menyedut asap busuk ini, yang kini menjadi satu fenomena biasa pada bulan-bulan musim sejuk di bandar ini.

    Menurut IQAir, paras pencemaran PM2.5 zarah mikro penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki darah melalui paru-paru, mencatatkan 227 mikrogram setiap meter padu, iaitu 15 kali ganda melebihi purata pendedahan harian maksimum yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Hanoi menduduki tempat teratas dalam senarai bandar paling tercemar di dunia oleh syarikat pemantau Switzerland itu pada waktu pagi. Pada tahun 2023, bandar itu juga tersenarai dalam 10 ibu kota paling tercemar di dunia mengikut penarafan IQAir.

    Pekerja pejabat, Tran Quynh Lan, memberitahu AFP bahawa kesukarannya untuk bernafas menyedut asbut toksik semasa dalam perjalanan menaiki motosikal telah memaksanya beralih kepada pengangkutan bas dan teksi, walaupun kosnya lebih tinggi.

    “Kualiti udara sangat teruk sehingga saya rasa tidak dapat bernafas dengan mudah di luar. Saya terpaksa memakai pelitup muka sepanjang masa,” katanya.

    WHO menyatakan bahawa pendedahan kepada pencemaran udara dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang serius, termasuk strok, penyakit jantung dan kanser paru-paru.

    Para pakar mengatakan bahawa pencemaran di Hanoi adalah hasil daripada pembinaan yang meluas, serta pelepasan gas daripada bilangan motosikal dan kereta yang banyak yang merentasi ibu kota setiap hari.

    Pelepasan karbon daripada loji arang batu di utara dan pembakaran pertanian turut memburukkan lagi masalah itu. – AFP

    Pekerja duduk di dalam bot di Tasik Barat dalam keadaan pencemaran udara yang teruk di Hanoi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda