KUALA LUMPUR, 22 DIS – Naib juara edisi 2022 Vietnam menepati ramalan melangkah ke peringkat separuh akhir dengan bergaya selepas mengalahkan Myanmar 5-0 pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2024, semalam.
Kejayaan di Stadium Viet Tri itu menyaksikan pasukan tuan rumah di bawah bimbingan Kim Sang-sik itu muncul juara kumpulan B dengan mengumpul 10 mata.
Namun demikian, Vietnam terpaksa menunggu pada minit ke-48 separuh masa kedua untuk mendahului, selepas kedua-dua pasukan buntu dan terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
Gol pertama mereka dijaringkan Vi Hao Bui pada minit ke-48, sebelum Rafaelson Bezerra Fernandes menjaringkan gol kedua selang tujuh minit kemudian bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Nguyen Quang Hai terus memberi kese-lesaan buat Vietnam, selepas melebarkan lagi kedudukan menerusi jaringan ketiga pasukan pada minit ke-74.
Tidak cukup dengan itu, Vietnam mengukuhkan kedudukan dengan menyumbat dua lagi gol pada masa kecederaan menerusi Rafaelson diikuti Nguyen Tien Linh, menjadikan kedudukan akhir 5-0.
Sementara itu, Filipina turut melakar kemenangan 1-0 ke atas Indonesia sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.
Pada aksi di Stadium Manahan di Surakarta, jaringan tunggal Bjorn Kristensen pada minit ke-63 itu sudah cukup memadai bagi membenam hasrat Indonesia untuk melangkah ke saingan separuh akhir. – Bernama