Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam gesa ASEAN kukuh zon bebas senjata nuklear

    PHNOM PENH, 3 OGOS – Menteri Luar Negeri Vietnam Bui Thanh Son kelmarin menyarankan agar Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menegakkan peranan dan nilai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) semasa berucap pada mesyuarat Suruhanjaya Perjanjian SEANWFZ di Phnom Penh, Kemboja.

    Mesyuarat tersebut merupakan perjumpaan pertama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM-55) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Son turut menekankan kepentingan nilai perjanjian itu berdasarkan situasi semasa yang tidak menentu dengan menyatakan ASEAN seharusnya lebih banyak menyumbang terhadap usaha antarabangsa dalam memastikan keselamatan nuklear. Beliau juga menggesa ASEAN berusaha mencari penyelesaian kepada pemeteraian protokol SEANWFZ.

    ASEAN menyambut baik kerjasama antara Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam penyelidikan dan aplikasi teknologi nuklear untuk tujuan kebaikan orang awam.

    Selain itu, ASEAN perlu bersatu dan berusaha untuk membina komuniti yang bersatu padu, inklusif dan bekerjasama dengan semangat “Perpaduan dalam Kepelbagaian,” gesa Perdana Menteri Kemboja Hun Sen. Berucap pada majlis perasmian, Tuan Hun Sen mengimbau kembali sejarah 55 tahun ASEAN dan pencapaian luar biasa yang menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah rantau yang bekerjasama, membangun dan dipercayai, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Para perwakilan juga bersetuju untuk mengukuhkan perundingan serta menggesa negara yang mempunyai senjata nuklear menandatangani protokol SEANWFZ. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda