HANOI, 30 Okt – Vietnam buat pertama kali menghantar pegawai wanita untuk menyertai misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Mejar Do Thi Hang Nga dari Pusat Keamanan Vietnam di bawah Kementerian Pertahanan, akan berada di Sudan Selatan selama 12 bulan.
Nga, akan bertanggungjawab menyelia operasi ketenteraan di negara itu bermula 29 Oktober.
Sebelum dihantar bertugas di sana, beliau telah menghadiri pelbagai kursus latihan di Sri Lanka, China, Belanda dan Korea Selatan.
Pengarah Pusat Keamanan Vietnam, Kolonel Hoang Kim Phung berkata, selepas tiga tahun menyertai operasi pengaman PBB, Vietnam telah menghantar seramai 20 pegawai untuk misi ke Afrika Tengah dan Sudan Selatan. – Bernama