HANOI, 7 APRIL – Ribuan penduduk di Vietnam mengalami kekurangan air tawar yang ‘teruk’ kerana kemarau dan salinisasi, mendorong pihak berkuasanya mengisytiharkan darurat hari ini.
Gelombang haba yang berlaku selama berminggu-minggu membawa kepada kemarau dan penerobosan garam ke kawasan wilayah Tien Giang, 60 kilometer (km) di selatan hab perniagaan Ho Chi Minh City.
Kawasan Tan Phu Dong di wilayah itu dengan garis pinggir laut sepanjang 12km di Laut China Selatan, silang-menyilang oleh laluan air, telah terjejas teruk.
Salinasi iaitu penerobosan air masin dari laut, menjejaskan tanaman dan beribu-ribu isi rumah dalam kalangan 43,000 orang yang tinggal di kawasan itu, kata agensi berita Vietnam yang dikawal negara.
Katanya, pengisytiharan darurat disebabkan kekurangan air untuk kegunaan domestik diumumkan hari ini untuk daerah Tan Phu Dong.
Agensi berkaitan diminta ‘menghantar air tawar ke kolam dan takungan di daerah ini untuk mengekalkan bekalan air tawar kepada penduduk di sana’, kata laporan itu.
Ketika musim kemarau yang berpanjangan ini, penerobosan garam yang lebih dalam di hulu sungai Tien menyebabkan komunitinya dipenuhi aliran air masin.
Delta Mekong menghadapi penerobosan air masin setiap tahun, tetapi cuaca panas yang lebih terik dan kenaikan paras laut, kedua-duanya didorong oleh perubahan iklim, meningkatkan lagi risiko.
Kira-kira 80,000 hektar sawah padi dan ladang buah-buahan berisiko terjejas akibat salinasi, menurut kajian dari Institut Sains Sumber Air di bawah Kementerian Alam Sekitar. – AFP


