HANOI, 19 APRIL – Ibu kota Vietnam, Hanoi telah mengemas kini garis panduannya dengan menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak selepas jumlah jangkitan COVID kembali meningkat, menurut laporan akhbar tempatan hari ini.
Orang ramai dimestikan untuk memakai pelitup muka di pengangkutan awam kerana berada di tempat yang tertutup dan risiko jangkitan virus adalah lebih tinggi, menurut nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini menjelang cuti selama lima hari bermula Sabtu depan.
Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ke atas kakitangan yang bekerja di pasar raya, gedung membeli-belah dan pasar runcit luar bangunan, yang sentiasa bertemu dengan pelanggan.
Pekerja yang bekerja di kawasan dalam bangunan awam seperti bar, disko, karaoke, tempat urut, salon kecantikan, jim, restoran, panggung wayang, teater, sarkas dan gimnasium juga dimestikan untuk memakai pelitup muka pada setiap masa.
Selain itu, pelitup muka juga diwajibkan ke atas kakitangan perkhidmatan, pengurus, orang ramai yang mengunjungi kemudahan budaya dan tempat tarikan pelancong serta tempat-tempat awam yang menarik jumlah pengunjung yang ramai.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan turut menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada mengenai perkembangan penularan, bersedia untuk langkah-langkah tindak balas, mempercepatkan pengagihan vaksin, mengamalkan keselamatan pandemik di tempat kerja, sekolah dan kemudahan penjagaan kesihatan.
Vietnam merekodkan penularan mendadak COVID dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan, daripada 278 kes pada minggu pertama bulan April kepada 2,000 kes pada minggu kedua.
Hanoi merupakan kawasan yang paling teruk terjejas dengan purata 96 kes sehari, menurut pusat pengawalan penyakit bandar itu.- Xinhua


