HANOI, 28 JULAI – Kebangkitan ekonomi digital dan bentuk aset baharu seperti harta dalam bentuk token, nama domain dan plat lesen kenderaan yang diperoleh melalui lelongan telah mendorong Vietnam untuk menambah baik rangka kerja Cukai Pendapatan Peribadi (PIT) negara itu.
Dalam draf pindaan Undang-undang PIT, Kementerian Kewangan negeri tersebut telah mencadangkan peluasan senarai pendapatan yang boleh dikenakan cukai, melebihi 10 kategori yang ditetapkan dalam undang-undang yang sedia ada.
Kementerian mencadangkan penambahan kumpulan baharu yang dinamakan ‘pendapatan lain’, yang merangkumi, pemindahan nama domain nasional ‘.vn’; pemindahan kredit karbon, pampasan karbon dan bon hijau; pemindahan plat lesen kenderaan yang dimenangi melalui lelongan; pemindahan aset digital seperti harta maya dan aset berbentuk token; serta pendapatan daripada penggunaan, pemilikan atau pemindahan jenis harta lain seperti yang ditakrifkan oleh pihak kerajaan.
Bagi sumber pendapatan tersebut, jika diperoleh melalui transaksi individu, cukai akan dikenakan pada kadar 5 peratus ke atas jumlah yang melebihi VND10 juta (AS$382).
Namun, bagi pemindahan aset digital yang dilakukan melalui pertukaran telus dengan penyenaraian harga awam dan aktiviti dagangan yang kerap, kadar cukai tetap sebanyak 0.1 peratus bagi setiap transaksi akan dikenakan, sama seperti cukai ke atas sekuriti.
Draf undang-undang itu juga memperincikan dan meluaskan komponen dalam setiap kumpulan pendapatan sedia ada. Pendapatan perniagaan kini merangkumi aktiviti e-dagang, pengendalian platform digital, profesion berlesen dan perkhidmatan perantara.
Kumpulan pendapatan gaji dan upah turut diperluas dengan panduan khusus mengenai elaun dan subsidi yang dikecualikan cukai mengikut peruntukan undang-undang atau peraturan tertentu kerajaan. – ANN/Vietnam News
