VINH, VIETNAM, 25 OGOS – Pihak berkuasa Vietnam hari ini memindahkan puluhan ribu penduduk dari kawasan pesisir menjelang ketibaan Taufan Kajiki yang dijangka melanda kawasan tengah negara itu dengan kelajuan angin sekitar 140 kilometer sejam (km/sj).
Kajiki, taufan kelima yang menjejaskan Vietnam tahun ini, ketika ini berada di laut dan membadai Teluk Tonkin dengan ombak setinggi 9.5 meter.
Hampir 30,000 orang telah dipindahkan dari wilayah itu apabila 16,000 anggota tentera telah dikerahkan bagi membantu operasi pemindahan dan semua bot nelayan di laluan taufan diarah untuk kembali ke pelabuhan.
Dua lapangan terbang domestik ditutup dan 35 penerbangan dibatalkan sebelum mendarat di antara wilayah Nghe An dan Ha Tinh.
Bandar pesisir Vinh dibanjiri sejak semalam dengan jalan-jalan sunyi pada pagi tadi, kebanyakan kedai dan restoran ditutup sementara pemilik premis menahan pintu masuk menggunakan karung pasir.
“Saya tidak pernah mendengar taufan sebesar ini melanda bandar kami,” kata Le Manh Tung, 66, ketika ditemui di sebuah stadium tertutup di Vinh yang dijadikan pusat pemindahan sementara.
“Saya agak takut, tetapi kami perlu menerimanya kerana ia adalah alam semula jadi – tiada apa yang mampu kita lakukan,” katanya kepada AFP ketika menikmati sarapan pulut bersama beberapa keluarga lain.
Kajiki dijangka mendarat sekitar jam 3 petang hari ini dengan kelajuan angin 139km/sj, menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan Vietnam.
“Hujan akan berterusan hari ini dan esok dan dengan taburan hujan besar, risiko banjir besar serta kepala air di sungai-sungai sangat tinggi,” kata pengarah pusat berkenaan, Mai Van Khiem. – AFP


