BANGKOK, 25 DIS – Peraturan Internet baharu Vietnam yang memerlukan Facebook dan TikTok mengesahkan identiti pengguna dan menyerahkan data kepada pihak berkuasa berkuat kuasa hari ini, dalam apa yang dikatakan pengkritik sebagai serangan terbaharu terhadap kebebasan bersuara.
Di bawah ‘Dekri 147,’ semua gergasi teknologi yang beroperasi di Vietnam mesti mengesahkan akaun pengguna melalui nombor telefon atau nombor pengenalan Vietnam mereka dan menyimpan maklumat tersebut bersama nama penuh dan tarikh lahir mereka.
Mereka mesti memberikan data tersebut kepada pihak berkuasa apabila diminta dan membuang sebarang kandungan yang dianggap oleh kerajaan sebagai ‘haram’ dalam masa 24 jam.
Peraturan baharu itu berkuat kuasa hari ini, kata media kerajaan VNExpress.
Semua laman media sosial diberi tempoh 90 hari untuk menyediakan data mengenai ‘jumlah kunjungan tetap dari Vietnam’ dan bilangan pengguna tetap sebulan kepada pihak berkuasa, kata laman web itu.
“Dekri 147 akan digunakan untuk menindas secara terbuka mereka yang mempunyai pandangan berbeza,” kata aktivis Dang Thi Hue, yang menulis tentang politik dan isu sosial di akaun Facebooknya, yang mempunyai 28,000 pengikut.
Dekri 147 dibina berdasarkan undang-undang keselamatan siber 2018 yang dikritik oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan penyokong kebebasan Internet yang mengatakan ia meniru penapisan China yang ketat terhadap Internet.
Dekri itu juga mengatakan hanya akaun yang disahkan boleh strim langsung, memberi kesan kepada jumlah orang yang mencari rezeki melalui perdagangan sosial di laman seperti TikTok.
Selain kesan terhadap firma media sosial, undang-undang baharu itu juga termasuk sekatan ke atas permainan untuk kanak-kanak bawah 18 tahun, yang dicipta untuk mencegah ketagihan.
Penerbit permainan dijangka menguatkuasakan had masa satu jam setiap sesi permainan dan tidak lebih daripada 180 minit sehari untuk semua permainan. – AFP