Sunday, March 30, 2025
27.1 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Vietnam kurangkan duti import, bimbang tarif AS

HANOI, 26 MAC – Vietnam merancang untuk mengurangkan duti import ke atas pelbagai barangan termasuk kereta, gas cecair dan beberapa produk pertanian, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan tarif daripada Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman di laman web Kementerian Kewangan semalam itu dibuat kurang daripada dua minggu selepas Perdana Menteri Pham Minh Chinh menyatakan bahawa negara itu sedang mengkaji semula duti bagi menggalakkan peningkatan import dari AS.

Vietnam mencatatkan defisit perdagangan ketiga tertinggi dengan AS, selepas China dan Mexico.

Timbul kebimbangan yang semakin meningkat bahawa Hanoi mungkin menjadi sasaran seterusnya bagi tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, yang telah menjejas pasaran global.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, duti import bagi beberapa jenis kereta akan dikurangkan sebanyak separuh, manakala kadar cukai untuk gas asli cecair akan diturunkan daripada lima peratus kepada hanya dua peratus.

Duti juga akan dikurangkan bagi beberapa produk lain termasuk paha ayam beku, badam, ceri manis, kismis dan kayu.

Perubahan itu, yang dijangka dilaksanakan bulan ini, bertujuan ‘menangani perkembangan geopolitik dan ekonomi dunia yang rumit serta sukar dijangka, terutamanya perubahan dalam dasar ekonomi, perdagangan dan tarif,’ menurut kenyataan itu. – AFP

Pengumuman itu dibuat selepas Pham Minh Chinh menyatakan bahawa negara itu sedang mengkaji semula duti bagi menggalakkan peningkatan import dari AS. – AFP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda