Friday, September 13, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam lancar kempen vaksinasi campak di 18 wilayah berisiko tinggi

    HANOI, 23 OGOS – Kementerian Kesihatan Vietnam hari ini telah melancarkan kempen vaksinasi campak yang menyasarkan kanak-kanak di 100 daerah dan bandar dalam 18 wilayah yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi terhadap wabak tersebut.

    Berdasarkan penilaian risiko menggunakan alat penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian tersebut telah mengenal pasti tahap risiko campak di 63 wilayah dan bandar di seluruh negara.

    Selain itu, pihak kementerian telah memutuskan untuk melaksanakan kempen vaksinasi itu sebagai langkah pencegahan.

    Vaksin akan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak berusia antara satu hingga sepuluh tahun, selain turut melibatkan petugas kesihatan yang berisiko di fasiliti perubatan serta individu yang belum menerima dos vaksin yang mencukupi seperti yang ditetapkan, menurut laporan agensi berita Vietnam, VNA.

    Jabatan Perubatan Pencegahan kementerian itu menyatakan bahawa Vietnam telah melaporkan lebih daripada 2,000 kes campak sejak awal tahun ini. Di Ho Chi Minh City sahaja, lebih daripada 500 kes dicatatkan, termasuk tiga kematian.

    Kempen itu bertujuan untuk mengurangkan kadar jangkitan campak dalam kalangan kanak-kanak dan masyarakat yang terdedah kepada risiko, sekali gus memastikan kesihatan awam terjaga dan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan di Vietnam. – Xinhua

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda