SHAH ALAM, 30 Jun – Per-sekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) hari ini mengesahkan telah menerima bantahan Vietnam dan Laos berhubung mekanisme pengundian kumpulan bagi acara bola sepak lelaki bagi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.
Setiausaha Agung AFF Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata bantahan rasmi oleh dua negara itu susulan cadangan FAM yang mahu Malaysia diberi keistimewaan untuk bebas memilih kumpulan selepas proses undian yang dijangka dibuat 8 Julai ini.
“Isu kandungan bantahan yang mereka hantar lebih kurang sama iaitu mempertikai peraturan yang dilihat tidak mengikut kaedah yang biasa dilaksana pada edisi Sukan SEA sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama warga bola sepak tanah air di kediaman Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin di sini.
Dalam pada itu, Hamidin berkata satu mesyuarat khas bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) bagi membincangkan perkara itu akan diadakan Isnin ini.
Katanya, sebagai tuan rumah, MOM mempunyai hak untuk mengubah tatacara undian namun jika cadangan itu tidak dipersetujui dan terus menda-pat bantahan selepas mesyuarat dibuat, maka mekanisme pengundian akan dijalankan seperti kaedah biasa. – Bernama