HANOI, 12 JUN – Parlimen Vietnam hari ini telah meluluskan rancangan untuk menggabungkan beberapa wilayah dan bandar, yang akan mengurangkan hampir 80,000 pekerjaan sektor awam, sebagai sebahagian daripada reformasi besar-besaran terhadap struktur pentadbiran negara itu.
Ahli parlimen telah mengundi untuk mengurangkan jumlah pentadbiran wilayah dan bandar dari 63 kepada hanya 34, sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan negara secara drastik.
Langkah itu dibuat selepas kerajaan mengurangkan jumlah kementerian dan agensi daripada 30 kepada 22 pada Februari lalu, yang mengakibatkan kehilangan 23,000 pekerjaan.
Pemimpin tertinggi Vietnam, To Lam, berkata penstrukturan semula pentadbiran negara yang drastik itu perlu dilakukan, jika sekiranya negara mahu mencapai ‘pembangunan yang pantas, stabil dan mampan’.
Dalam undian hari ini, pihak parlimen telah meluluskan rancangan kerajaan dengan 461 undian menyokong, satu menentang dan tiga berkecuali.

Hanya 11 wilayah dan bandar tidak terjejas oleh reformasi tersebut, manakala selebihnya akan digabungkan.
Menteri Dalam Negeri, Pham Thi Thanh Tra, menyifatkan perubahan itu sebagai ‘revolusi terbesar sejak negara ini diasaskan’ pada tahun 1945, menurut laporan media kerajaan kelmarin.
Badan pentadbiran baharu yang lebih kecil itu dijangka akan “beralih daripada pengurusan secara pasif kepada perkhidmatan aktif kepada rakyat”, kata Setiausaha Agung Parti Komunis dan tokoh paling berkuasa di negara itu, To Lam.
Menurut kerajaan, semua bandar dan wilayah akan mengumumkan kepimpinan baharu mereka pada 30 Jun dan mula beroperasi sepenuhnya pada awal Julai.
Dalam beberapa hari akan datang, pihak parlimen akan mengundi untuk meminda perlembagaan negara, di mana struktur pentadbiran tiga peringkat iaitu wilayah, daerah dan komun akan dikurangkan kepada dua peringkat.
Peringkat daerah akan dimansuhkan dan peringkat komun akan diperluas. – AFP

