HANOI, 21 MEI – Vietnam telah meluluskan penubuhan sebuah syarikat penerbangan baharu, Sun PhuQuoc Airways (SPA), yang disasarkan memiliki lebih 30 pesawat menjelang akhir dekad ini, menurut kenyataan syarikat induknya, Sun Group, hari ini.
Sektor penerbangan di negara itu berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pertumbuhan pesat golongan kelas pertengahan yang semakin cenderung dan mampu untuk melancong.
Menurut kenyataan Sun Group, Sun PhuQuoc Airways akan memberi tumpuan kepada menarik lebih ramai pelawat antarabangsa ke Pulau Phu Quoc, destinasi pelancongan terkenal di selatan Vietnam yang digemari pelancong tempatan dan antarabangsa.
Namun, syarikat penerbangan itu juga akan menyasarkan destinasi pelancongan dan perniagaan utama lain di Vietnam serta seluruh dunia, tambah kenyataan itu lagi.
Hampir AS$100 juta akan dilaburkan untuk menubuhkan syarikat ini, yang merancang untuk memiliki 31 buah pesawat menjelang tahun 2030. – AFP
