HANOI, 16 MEI – Vietnam telah meluluskan cadangan pelaburan bernilai AS$1.5 bilion oleh Trump Organization bersama rakan kongsi tempatan mereka untuk membangunkan padang golf, hotel dan projek hartanah lain di negara Asia Tenggara itu, lapor media milik kerajaan hari ini.
Projek berkenaan yang meliputi kawasan seluas 990 hektar di daerah Khoai Chau, utara Vietnam, akan merangkumi padang golf bersaiz 336 padang ragbi, kawasan perumahan, ruang komersial dan taman rekreasi. Keputusan kelulusan pelaburan itu telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri, Tran Hong Ha, menurut laporan akhbar VN Express.
Vietnam kini dalam rundingan dengan Amerika Syarikat bagi mengelak pelaksanaan tarif eksport sebanyak 46% yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump. Negara itu turut menerima tekanan daripada Washington kerana dianggap tidak cukup proaktif dalam mencegah pemindahan barangan dari China melalui sempadannya.
Projek pelaburan itu diumumkan oleh pemaju hartanah tempatan, Kinhbac City, yang menjalinkan kerjasama dengan perniagaan keluarga Trump pada Oktober lalu.
Kerja pembinaan dijangka bermula tahun ini dan dijadualkan siap menjelang tahun 2029.
Trump Organization setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek berkenaan. – AP
