HANOI, 18 OGOS – Menteri Pengangkutan Vietnam telah mencadangkan larangan memandu secara berterusan selama lebih lapan jam sehari dan lebih tiga jam pada waktu malam sebagai usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, lapor akbar Vietnam News hari ini.
Khususnya, pada waktu malam (dari 10 malam sehingga 6 pagi keesokan harinya), waktu memandu secara berterusan tidak melebih tiga jam. Manakala pada waktu pagi, tempoh waktu memandu mesti tidak melebihi lapan jam, menurut akhbar itu.
Mengetatkan waktu memandu pada waktu malam akan mengehadkan keletihan dan kerja berlebihan bagi pemandu, sekali gus mengurangkan berlakunya kemalangan, akhbar tersebut memetik seorang pegawai.
Menurut pihak kementerian, peraturan jam memandu adalah untuk mengawal risiko kemalangan di jalan raya yang berpunca daripada keletihan pemandu, terutama pemandu trak jarak jauh.
Nguyen Van Quyen, presiden Persatuan Pengangkutan Automobil Vietnam, berkata peraturan itu tidak sesuai kerana peniagaan pengangkutan jarak jauh akan terpaksa mengambil lebih banyak pemandu bagi memastikan giliran. Dia juga berkata peraturan waktu memandu tanpa kajian rintis tidak sepatutnya dilaksanakan ke dalam undang-undang.
Sementara itu, Kolonel Kanan Pham Viet Cong, timbalan ketua pejabat bagi Jawatankuasa Keselamatan Jalan raya Kebangsaan, berkata bagi mengurangkan kemalangan pada waktu malam, ia perlu memasang lebih banyak lampu dan sistem amaran di atas jalan raya.
Sebanyak 5,928 kemalangan jalan raya berlaku dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini di Vietnam, dengan 3,428 kematian, menurut Pejabat Statistik Am Vietnam. – Xinhua


