HANOI, 31 JULAI – Vietnam merekodkan kematian pertama akibat koronavirus hari ini ketika pandemik itu muncul kembali di sebuah negara yang sebelum ini dipuji berjaya membendung jangkitan tersebut. Pesakit merupakan seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia di bandar Hoi An setelah hampir tiga minggu dimasukkan ke hospital dengan penyakit serius, menurut media kerajaan.
Negara komunis itu mendapat pujian awal tahun ini kerana berjaya mengawal COVID-19 dengan sekatan pergerakan ketat, langkah kuarantin meluas dan rejim kesan dan jejak kukuh.
Namun penularan hujung minggu di pantai Da Nang, dekat Hoi An, telah meletakkan negara itu kembali dalam langkah amaran tinggi.
Para pegawai kesihatan hari ini juga mengumumkan jumlah kes sehari tunggal tertinggi di negara itu sejak pandemik bermula.
‘Pakar perubatan elit’ telah digerakkan bagi membantu membendung wabak di Da Nang, kata Timbalan Ketua Institut Epidemiologi Negara, Doktor Tran Nhu Duong memberitahu TV kerajaan ketika berita kematian pertama diumumkan.
Mereka akan menyertai ‘sekitar 1,000 orang termasuk anggota tentera’ menuju ke tempat kluster baharu, sebuah bandar yang dipenuhi pelancong domestik sehingga pihak berkuasa mengumumkan virus tersebut telah membuat kemunculan semula.
Sebelum cuti hujung minggu Vietnam tidak merekodkan sebarang jangkitan tempatan selama hampir 100 hari.
Namun sejak itu, hampir 100 orang yang telah berkunjung ke pusat peranginan Da Nang telah diuji positif koronavirus di seluruh negara, mengakibatkan pihak berkuasa bergelut untuk mengesan wabak tersebut.
Jumlah ‘orang yang dijangkiti telah mencecah jumlah rekod’ dengan 45 kes baharu, menurut akhbar Suc Khoe Doi Song, lidah rasmi kementerian kesihatan. – AFP
