Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam rugi AS$1.6 bilion akibat Yagi

    HANOI, 16 SEPT – Vietnam mengalami kerugian ekonomi sebanyak AS$1.6 bilion akibat Taufan Yagi, menurut media kerajaan hari ini, ketika Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata banjir yang membawa maut yang dicetuskan di Myanmar adalah yang terburuk dalam sejarah terkini negara itu.

    Yagi membadai Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand dengan angin kencang dan hujan lebat lebih seminggu yang lalu, mencetuskan banjir dan tanah susur yang mengorbankan lebih 400 orang, menurut angka rasmi.

    Ia melanda delta Sungai Merah yang padat dengan penduduk di Vietnam wilayah pertanian penting yang juga menempatkan hab pembuatan utama merosakkan kilang dan infrastruktur serta membanjiri tanah pertanian.

    Taufan itu mengakibatkan kerugian ekonomi yang dianggarkan berjumlah AS$1.6 bilion, lapor media kerajaan, memetik penilaian awal kerajaan.

    Jumlah kematian di Vietnam ialah 292 orang, dengan 38 hilang, lebih 230,000 rumah rosak dan 280,000 hektar tanaman musnah, menurut pihak berkuasa.

    Di Myanmar, junta yang memerintah telah melaporkan 113 kematian dan mengatakan bahawa lebih 320,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka ke kem bantuan sementara.

    “Taufan Super Yagi telah menjejaskan sebahagian besar negara dan menyebabkan banjir terburuk yang pernah kita lihat dalam sejarah terkini Myanmar,” kata Sheela Matthew, wakil WFP di Myanmar, dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran tepat.

    Butiran tepat mengenai kesan terhadap pertanian masih belum jelas, katanya. – AFP

    Penduduk berjalan meredah banjir di Pyinmana di wilayah Naypyidaw, Myanmar, pada 13 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda