Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam rugi AS$3.3 bilion akibat Yagi

    HANOI, 29 SEPT – Vietnam mengalami kerugian ekonomi sebanyak AS$3.3 bilion akibat Taufan Yagi yang melanda utara negara itu awal bulan ini, menyebabkan ratusan kematian, lapor media kerajaan kelmarin.

    Yagi melanda utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar pada awal September, mencetus banjir dan tanah susur yang mengorbankan lebih 700 orang.

    Pegawai telah menganggarkan kerugian ekonomi di negara komunis itu berjumlah AS$3.3 bilion, kata media kerajaan dalam laporan mesyuarat kerajaan tentang akibat dan pengajaran yang diperoleh daripada bencana tersebut.

    Seramai 299 orang terbunuh dan 34 dilaporkan hilang di Vietnam, manakala pegawai di Myanmar yang diperintah junta telah mengesahkan 433 kematian dengan 79 masih hilang.

    Taufan itu adalah yang paling kuat melanda utara Vietnam dalam beberapa puluh tahun, membawa angin kencang dan hujan lebat ke delta Sungai Merah yang padat dengan penduduk.

    Wilayah pertanian yang penting ini juga merupakan rumah kepada hab pembuatan utama, dan ribut tersebut merosakkan kilang dan infrastruktur serta membanjiri tanah pertanian.

    Lebih 390,000 rumah rosak atau ditenggelami air, manakala lebih 345,000 hektar tanaman rosak dan 5.6 juta ekor ayam mati akibat Yagi, menurut angka daripada Kementerian Pertanian Vietnam. – AFP

    Gambar diambil dari udara menunjukkan Sungai Merah yang dinaiki air di Hanoi pada 10 September, selepas Taufan Yagi melanda utara Vietnam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda