Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam sambut Hari Kebangsaan ke-75

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Brunei, kelmarin, telah mengadakan majlis makan malam bagi meraikan Hari Kebangsaan Vietnam ke-75 tahun di kedutaan berkenaan di Jalan Telanai.

    Hadir selaku wakil kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Indera Jaya bin Pengiran Haji Shamsu. Turut hadir ialah pembesar-pembesar asing ke Negara Brunei Darussalam.

    Acara tersebut diadakan secara sederhana pada tahun ini berikutan wabak COVID-19, di mana pihak kedutaan mengadakannya dengan menerapkan langkah-langkah pencegahan dan mengikut garis panduan penjarakan sosial daripada Kementerian Kesihatan.

    Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Vietnam, diikuti dengan ucapan daripada Duta Besar Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa. Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama antara lain menekankan mengenai bagaimana Vietnam berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pertumbuhan pesat dan menjadi salah sebuah negara yang paling dinamik di rantau ini.

    Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai hubungan antara Vietnam dan Brunei yang berkembang dengan pantas.

    “Saling mempercayai (mutual trust), kerjasama dan pertukaran dalam bidang politik, ekonomi, budaya dan bidang-bidang lain antara kedua-dua negara terus diperdalam.

    “Perkongsian komprehensif (antara kedua-dua buah negara) yang ditubuhkan pada 2019, memberikan kerangka kerja kepada kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

    Acara diteruskan dengan upacara memotong kek bersempena dengan Hari Kebangsaan Republik Sosialis Vietnam yang disempurnakan oleh TYT Tran Van Khoa bersama pembesar-pembesar asing di rantau ini ke Brunei Darussalam.

    Terdahulu pada sebelah pagi, Kedutaan Republik Sosialis Vietnam telah mengadakan kejohanan golf mini yang disertai oleh pembesar-pembesar asing serta beberapa pegawai kanan kerajaan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan pada majlis makan malam berkenaan.

    Acara pemotongan kek disempurnakan oleh TYT Tran Van Khoa bersama Pengiran Indera Jaya dan pembesar-pembesar asing ke Brunei Darussalam di rantau ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda