Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam sambut ulang tahun kemerdekaan ke-80

    HANOI, 2 SEPT – Vietnam menganjurkan sambutan awam terbesar dalam sejarahnya hari ini, bagi memperingati 80 tahun pengisytiharan kemerdekaan, dengan puluhan ribu rakyat berarak penuh semangat di bawah kibaran bendera.

    Sekitar 40,000 anggota tentera dan orang awam memulakan perarakan di ibu negara Hanoi selepas subuh, memperingati tarikh apabila Ho Chi Minh mengisytiharkan penubuhan Republik Demokratik Vietnam, pada tahun 1945, bebas daripada penjajahan Perancis.

    Kereta kebal, dron dan peluru berpandu turut memenuhi jalan raya, manakala helikopter dan pesawat tempur melintasi ruang udara di hadapan ratusan ribu penonton di bawah terik waktu pagi.

    Pham Thanh Van, seorang veteran berusia 78 tahun, hadir dengan seragam tenteranya yang penuh dengan pingat hasil perjuangan menentang tentera Amerika, duduk di
    barisan hadapan di hadapan makam Ho Chi Minh.

    “Ini akan menjadi kenangan terakhir saya. Jangan lupakan kami,” katanya kepada AFP.

    Anggota Tentera Rakyat Vietnam berarak semasa perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-80 di Hano, kelmarin. – AFP

    “Saya sangat bangga. Kemerdekaan membawa pembangunan dan kemakmuran kepada negara. Saya rasa perjuangan itu sangat berbaloi.”

    Pemimpin tertinggi Hanoi, To Lam, mengetuai perarakan dengan ucapan pembukaan disaksikan pemimpin nombor tiga China, Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Zhao Leji; bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen; dan Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel.

    “Dalam detik keramat ini, kita mengenang dengan penuh hormat jasa nenek moyang kita,” kata Lam.

    “Bangsa kita telah mengatasi pelbagai kesusahan dan cabaran. Negara kita telah berubah daripada sebuah tanah jajahan kepada sebuah negara merdeka dan bersatu, maju ke arah kemodenan serta integrasi mendalam dengan dunia.”

    Pasukan tentera China dan Rusia turut berarak bersama anggota tentera Vietnam dalam perarakan yang berlangsung sekitar dua jam itu, dimulakan dengan helikopter mengibarkan bendera kebangsaan.

    Sementara itu, anak-anak muda berpakaian tradisional menari sambil membawa gubahan bunga gergasi, manakala meriam melepaskan tembakan hormat dan pasukan polis perbarisan khas beruniform putih bersih melangkah megah.

    “Ia memperlihatkan kekuatan Vietnam,” kata penonton Tran Nguyen Trung Chien, 34, yang kagum dengan perarakan tersebut. “Kami ingin menzahirkan semangat patriotisme tinggi Vietnam.”

    Sambutan kali ini, yang digambarkan media rasmi sebagai “belum pernah diadakan dalam skala sebegini”, juga mengatasi pertunjukan yang disertao oleh 30,000 orang pada sambutan kemerdekaan tahun 1985. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda