HANOI, 5 MEI – Agensi Perdagangan Vietnam (Vietrade) di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan akan berkoordinasi dengan pejabat dagangan Vietnam di negara anggota ASEAN untuk menganjurkan sesi perundingan mengenai eksport beras.
Tahun lalu, Filipina merupakan pembeli beras terbesar Vietnam, mengimport 2.45 juta tan metrik bernilai lebih US$1.25 bilion, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Pada suku pertama tahun ini, Filipina mengekalkan kedudukan teratas, masing-masing membentuk 44.7 dan 42.6 peratus daripada jumlah serta nilai eksport beras Vietnam.
Selain Filipina, beras Vietnam juga dieksport ke pasaran utama lain di rantau ini seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Eksport beras Vietnam ke Malaysia pada Januari telah meningkat 163.4 peratus berbanding bulan sebelumnya. – Bernama