Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam, Singapura perkukuh kerjasama ekonomi

    HANOI, 12 OKT – Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien dan Menteri Tenaga serta Sains dan Teknologi di Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng bersetuju untuk meneruskan penyelarasan rapat dalam melaksanakan bidang kerjasama utama, khususnya dalam sektor tenaga, industri, perdagangan serta sains dan teknologi.

    Kedua-dua menteri itu mengadakan perbincangan di Hanoi baru-baru ini sempena lawatan Tan bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Kesalinghubungan Vietnam-Singapura ke-19.

    Mereka menegaskan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala terus berkembang dengan kukuh dan menyeluruh, sekali gus menjadi tonggak utama dalam hubungan dua hala Vietnam-Singapura.

    Antara fokus utama mesyuarat tersebut ialah cadangan projek eksport tenaga boleh diperbaharui dari Vietnam ke Singapura. Kedua-dua pihak membincangkan pilihan penghantaran terus antara kedua-dua negara serta sambungan tidak langsung melalui negara ketiga.

    Dien menekankan kepentingan strategik projek berkenaan, bukan sahaja bagi memperkukuh hubungan dua hala tetapi juga dalam pembentukan grid tenaga ASEAN yang bersepadu.

    Pelan Pembangunan Kuasa Vietnam VIII yang disemak menetapkan sasaran eksport antara lima hingga 10GW tenaga elektrik ke Singapura, Malaysia dan rakan-rakan lain menjelang tahun 2035, sementara memastikan kecekapan ekonomi dan keselamatan tenaga negara.

    Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama rapat di peringkat teknikal bagi membangunkan rangka kerja undang-undang, kewangan dan teknikal untuk projek tersebut, serta meneroka pemeteraian perjanjian sambungan antara Vietnam, Malaysia dan Singapura dalam masa terdekat.

    Kedua-dua menteri juga menyambut baik kemajuan rundingan mengenai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan beras antara kedua-dua kerajaan. – ANN/Vietnam News

    Menteri Kewangan Vietnam, Nguyen Van Thang (kiri sekali) dan Tan See Leng (kanan sekali), menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak. – – ANN/Vietnam News
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda