HANOI, 2 JUN – Pihak berkuasa Vietnam menahan seorang aktivis iklim terkemuka kerana didakwa mengelak cukai, kata suaminya hari ini, dan menambah senarai ahli alam sekitar yang berdepan dengan dakwaan itu.
Hoang Thi Minh Hong, pengasas pertubuhan bukan kerajaan CHANGE yang kini tidak berfungsi dan ditubuhkan untuk mengatasi beberapa isu alam sekitar yang paling mendesak di negara itu, telah ditahan di bandar Ho Chi Minh pada Rabu.
“Saya boleh mengesahkan Hoang telah ditahan sementara sejak 31 Mei dengan pertuduhan mengelak cukai,” Hoang Vinh Nam memberitahu AFP.
Hoang menubuhkan CHANGE pada 2013, memfokuskan mengubah warga Vietnam, terutama golongan muda, untuk mengambil langkah terhadap masalah alam sekitar yang mendesak termasuk perubahan iklim, pemerdagangan haram hidupan liar dan pencemaran.
Tahun lalu, dia mengumumkan bahawa CHANGE akan ditutup selepas pihak berkuasa kerajaan menjatuhkan hukuman penjara ke atas empat aktivis alam sekitar iaitu Nguy Thi Khang, Mai Phan Loi, Bach Hung Duong dan Dang Dinh kerana mengelak cukai.
“Penggunaan secara selektif yang dilakukan oleh Vietnam terhadap undang-undang cukai yang tidak jelas dan mempunyai kecacatan untuk menyasarkan pencinta alam sekitar dan aktivis perubahan iklim adalah perkembangan baharu yang amat membimbangkan,” jara Phil Robertson, timbalan pengarah pemerhati hak asasi manusia Asia.
“Aktivis alam sekitar yang terkemuka, Hoang Thi Minh Hong menjadi mangsa terbaharu dalam tindakan keras ini.” – AFP