HANOI, 31 MEI – Pengawal sempadan Vietnam telah menahan lapan warga Laos kerana mengedar hampir 200 kilogram (kg) dadah haram ke negara itu, lapor media kerajaan, kelmarin.
Tiga lelaki dan lima wanita yang menaiki kereta dengan nombor plat Laos telah ditahan di pintu sempadan di wilayah Quang Nam dengan membawa 198kg dadah dalam peket sebesar uncang teh.
Pengawal sempadan dan polis merampas 15.4kg heroin dan 181kg jenis dadah sintetik lain, lapor akhbar Tuoi Tre milik kerajaan.
Asia Tenggara ialah pusat utama bagi dadah sintetik seperti methamphetamine, kebanyakannya dihasilkan di kawasan sempadan Myanmar.
Sempadan Laos-Vietnam yang bergunung-ganang sepanjang 2,300 kilometer telah lama menjadi laluan penyeludupan.
Vietnam mempunyai undang-undang dadah yang sangat ketat dan pada Januari, sembilan orang dijatuhi hukuman mati dan dua lagi penjara seumur hidup kerana penglibatan mereka dalam kumpulan pengedaran dari Laos. – AFP
