Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam tawar ganjaran bagi pelapor kesalahan lalu lintas

    HANOI, 8 JAN – Vietnam memperkenalkan insentif kewangan sehingga lima juta dong (AS$200 kepada penduduk yang melaporkan kesalahan lalu lintas, dalam usaha negara Asia Tenggara itu untuk mengawal pemandu yang melanggar peraturan di jalan raya yang huru-hara.

    Mulai tahun ini, pihak berkuasa meningkatkan denda secara mendadak, hampir tidak mampu ditanggung oleh pemandu biasa, bagi kesalahan seperti melanggar lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

    Menurut peraturan baharu, individu yang melaporkan kesalahan lalu lintas yang disahkan boleh menerima sehingga 10 peratus daripada jumlah denda yang dikenakan, dengan had maksimum lima juta dong.

    Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan bagi ‘melindungi privasi mereka’.

    Sehingga kini, belum ada individu yang menerima ganjaran, menurut laporan media tempatan yang memetik pihak polis.

    Di negara yang purata pendapatan bulanan sekitar 7.7 juta dong, denda melanggar lampu isyarat merah menggunakan motosikal kini mencecah lebih enam juta dong, enam kali ganda daripada jumlah sebelumnya.

    Bagi pemandu kereta yang melakukan kesalahan sama, mereka perlu membayar hampir 20 juta dong, meningkat daripada enam juta dong sebelum ini. Denda untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu juga meningkat dua kali ganda.

    “Saya terkejut dengan jumlah denda itu,” kata pemandu Grab motosikal Nguyen Quoc Phong, yang mengakui sering melanggar lampu merah di Hanoi.

    “Saya takut sekarang. Saya sudah mula mematuhi peraturan dengan ketat,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dia tidak suka dirakam dan dilaporkan kepada polis oleh penduduk Hanoi. – AFP

    Pemandu kereta dan penunggang motosikal sedang menunggu lampu merah di persimpangan di Hanoi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda