BANDAR HO CHI MINH, 26 Dis – Lebih 4,000 orang pelawat, termasuk hampir 2,200 warga asing telah terkandas di Phu Quoc, pulau terbesar Vietnam, di wilayah Kien Giang apabila penerbangan dan kapal-kapal laut dibatalkan kerana bagi mengelakkan Ribut Tropika Tembin, menurut laporan Pusat Televisyen Vietnam (VTV) hari ini.
Ribut itu semakin lemah menjadi tekanan tropika, menurut laporan itu.
Tembin telah menyebabkan hujan lebat di beberapa wilayah di selatan, termasuk Kien Giang, Ca Mau dan Bac Lieu. Terdahulu, pihak berkuasa telah mengatur pemindahan hampir satu juta orang, dan menutup sementara sekolah-sekolah hari ini dan kelmarin.
Kawasan selatan Vietnam jarang sekali berdepan ribut, namun apabila ia terkena, banyak kerugian dilaporkan. Sebagai contoh Ribut Linda yang melanda rantau itu pada tahun 1997, mengorbankan atau menyebabkan 3,000 hilang.
Damrey, ribut paling kuat pernah melanda Vietnam dalam lebih sedekad, dan seterusnya banjir pada bulan November, mengorbankan 123 orang di rantau tengah negara itu, mencederakan ratusan yang lain, dan menyebabkan kerugian mencecah AS$1 bilion. – Xinhua
