HANOI, 1 Ogos – Penyu laut yang jarang ditemui di Vietnam kini diancam kepupusan, akibat aktiviti pemburu haram, meskipun haiwan itu dilindungi undang-undang, lapor agensi berita Vietnam (VNA), memetik Pendidikan Alam Semulajadi Vietnam (ENV).
Antaranya ialah spesies penyu hijau, loggerhead dan hawksbill. Meskipun memainkan peranan penting dalam sistem ekologi, penyu hawksbill paling banyak pupus iaitu sehingga 80 peratus kerana digunakan untuk menghasilkan kraf tangan seperti barang kemas.
Seorang wakil dari ENV berkata, adalah perlu untuk melaksanakan peraturan perundangan yang lebih ketat untuk melindungi haiwan tersebut.
Pendakwaan terhadap peniaga haram, membawa penyu dan telurnya, satu cara yang berkesan untuk mencegah aktiviti pemburu haram.
Pada masa sama, meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan penyu laut juga adalah penting.
Di bawah Kanun Keseksaan yang dipinda pada tahun 2015, memburu, menangkap, membunuh, membiak, mengangkut, dan menjual penyu dan bahagian badan haiwan itu boleh dihukum maksimum 15 tahun penjara. Pada Jun 2018, Mahkamah Rakyat Nha Trang, di wilayah Khanh Hoa, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan enam bulan terhadap Hoang Tuan Hai kerana didapati bersalah memperdagangkan dan mengumpul lebih 10 tan penyu secara haram. Jumlah rampasan penyu laut terbesar di dunia pernah dibuat pada lewat tahun 2014. – Bernama