Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam tingkatkan usaha elak penerobosan air masin

    HANOI, 31 MEI – Wilayah Kien Goang di Delta Mekong, kawasan penanaman padi terbesar di Vietnam, sedang meningkatkan usaha untuk menghadapi keadaan cuaca buruk akibat El Nino tahun ini, lapor Vietnam News kelmarin.

    Fenomena cuaca El Nino dijangka akan menyebabkan suhu purata yang lebih tinggi, menimbulkan kebimbangan bahawa Delta Mekong berkemungkinan dilanda kemarau atau penerobosan air masin, kata Le Quoc Anh, timbalan pengerusi Jawatankuasa Rakyat wilayah Kien Giang.

    Wilayah itu sedang bersiap sedia untuk melawan cuaca ekstrem yang dijangka berlaku pada tahun ini, termasuk memeriksa sumber air tawar dan saluran pertanian serta empangan untuk mengelak penerobosan air masin.

    Pihak berkuasa pertanian tempatan berkata para peladang memerlukan sokongan kerajaan untuk membangunkan sistem empangan yang mengelilingi keseluruhan kawasan ladang dan menghalang air masin daripada memasuki saluran dan menjejaskan tanaman.

    Wilayah itu telah membina atau menaik taraf 40 empangan sementara untuk menghalang penerobosan air masin dan memberikan air untuk pertanian padi seluas 281,000 hektar dan kegunaan isi rumah.

    Tran Cong Danh, timbalan pengarah jabatan pertanian, berkata penilaian mengenai kemarau dan penerobosan air masin akan dihantar kepada ketua wilayah untuk mengambil langkah pencegahan.

    Pihak berkuasa juga akan meningkatkan kesedaran kepada peladang mengenai kemasinan agar mereka tidak merosakkan tanaman secara tidak sengaja dengan menyiram menggunakan air masin.

    Delta Mekong Vietnam mencatatkan kira-kira 50 peratus penghasilan beras dan buah-buahan negara itu, 90 peratus daripada berasnya untuk dieksport dan 60 peratus udang dan ikan juga untuk dieksport, menurut kementerian pertanian.- Xinhua

    Fenomena cuaca El Nino dijangka akan menyebabkan suhu purata yang lebih tinggi, menimbulkan kebimbangan bahawa Delta Mekong berkemungkinan dilanda kemarau atau penerobosan air masin, kata Le Quoc Anh.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda