HANOI, 31 MEI – Lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Vietnam akan menggantung penerbangan dari luar bermula esok, susulan penularan gelombang baharu wabak COVID-19 di negara itu.
Pentadbiran Penerbangan Awam Vietnam (CAAV) memaklumkan, penggantungan sementara penerimaan penerbangan antarabangsa akan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi bermula tengah malam ini hingga 7 Jun.
CAAV memaklumkan, penerbangan dari Hanoi ke luar negara pula akan diteruskan, tidak jelas sama ada penerbangan domestik turut termasuk dalam penggantungan itu.
Sepanjang minggu ini, Menteri Kesihatan Vietnam berkata, pihak berkuasa mengesan ‘varian hibrid baharu’ yang sangat mudah berjangkit, iaitu gabungan antara varian India dan United Kingdom (UK).
Meskipun pihak berkuasa menjelaskan mutasi baharu itu memerlukan kajian terperinci, kebimbangan mula dirasai di seluruh Vietnam yang masih bergelut mengekang penularan baharu itu.
Sebelum pengumuman hari ini, Vietnam sudah mengehadkan kemasukan penerbangan antarabangsa dan semua individu yang masuk ke Vietnam perlu menjalani kuarantin wajib.
Bandar Ho Chi Minh – mempunyai 9 juta penduduk paling ramai di Vietnam – telah mengumumkan langkah penjarakan sosial kelmarin sekali gus meningkatkan ujian koronavirus.
Timbalan ketua jabatan kesihatan Ho Chi Minh, Nguyen Hoai Nam memberitahu sampel-sampel akan diambil dari kawasan berisiko tinggi. – AFP
