Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vil-Laju! anjur Ikon Anak Brunei sempena Hari Belia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Vil-Laju! Brunei telah menganjurkan Ikon Anak Brunei: It’s a Crossover! yang berlangsung di Pusat Sejarah Brunei sempena Hari Belia Kebangsaan Brunei ke-20 dan Gerakan Next20, hari ini.

    Perhimpunan utama ini merupakan sebahagian daripada Siri Pemberdayaan Belia Vil-Laju iaitu sebuah inisiatif di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang didedikasikan untuk menonjolkan dan memperkukuhkan kepimpinan belia Brunei.

    Majlis menghimpunkan empat orang penceramah belia yang tersohor bersama seorang moderator dan majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat yang dipimpin oleh Abdul Khaliq.

    Sejurus itu, ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Presiden Vil-Laju, Nabilah Assyahirah yang antara lain menekankan bahawa Ikon Anak Brunei ini telah menjadi satu platform untuk meraikan kecemerlangan, bertukar pandangan, memperoleh ilmu baharu, dan memberi inspirasi antara satu sama lain, selain menggesa para peserta untuk keluar dari zon selesa mereka.

    Acara kemuncak adalah sesi panel perbincangan dan moderator acara  merupakan  seorang jurulatih bertauliah dan advokat pemerkasaan gender, Amar Syahirah, dan ahli panel terdiri Sophie Kehoe (ilustrator Eurasia), Adib Zaky yang merupakan penggerak perubahan belia, Marhanif Ali iaitu seorang atlet badminton kebangsaan, dan Putra Mashor merupakan seorang usahawan dan pakar horologi..

    Topik yang dibincangkan meliputi strategi pembangunan komuniti dan laluan kepimpinan yang inklusif, semuanya bertujuan membekalkan peserta dengan alat praktikal untuk perubahan positif melalui perkongsian perjalanan dan pengalaman bagi masa depan Brunei.

    Dengan menggerakkan rangkaian sedia ada, Vil-Laju! Brunei berjaya mengumpulkan lebih daripada 50 orang dan acara turut diisi dengan sesi soal jawab interaktif dengan memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel, mewujudkan suasana dialog terbuka dan pembelajaran bersama.

    Ikon Anak Brunei: It’s a Crossover! membuktikan komitmen teguh Vil-Laju! Brunei dalam menyemai benih kepimpinan generasi muda, dan memastikan bahawa belia Brunei terus di berdaya, berhubung, dan bersedia untuk menyinari masa depan negara.

    Vil-Laju kekal teguh dalam misinya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan melalui kerjasama strategik, impak akar umbi, dan penyelesaian berasaskan bukti.       

    Ahli panel berkongsi pandangan mereka dalam bidang masing-masing pada acara Ikon Anak Brunei: It’s a Crossover!, hari ini
    Antara yang hadir pada acara Ikon Anak Brunei: It’s a Crossover! di Pusat Sejarah Brunei di ibu negara. – GAMBAR LYNA MOHAMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda