BIRMINGHAM, 13 MAC – Kapten Aston Villa, John McGinn memberi amaran kepada Paris Saint-Germain bahawa pasukannya mahu ‘menempa nama dalam sejarah’ apabila mereka bertemu di suku akhir Liga Juara-Juara.
Villa mara ke peringkat lapan terbaik kejohanan kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun selepas menewaskan Club Brugge 3-0 semalam, yang beraksi dengan 10 pemain.
Skuad kendalian Unai Emery mencatat kemenangan agregat 6-1 dalam pusingan 16 terbaik, dengan Marco Asensio masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua di Villa Park.
Brugge kehilangan Kyriani Sabbe yang dibuang padang akibat mengasari Marcus Rashford pada awal babak pertama.
Ian Maatsen turut mencetak nama sebagai penjaring di antara dua gol Asensio, sekali gus memastikan pertembungan menarik dengan pendahulu Ligue 1, PSG, yang menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti di Anfield pada Selasa.

Villa kini memburu saingan di separuh akhir buat kali pertama sejak menjuarai kejohanan ini pada tahun 1982, dan pemain tengah Scotland, McGinn, bertekad untuk meneruskan perjalanan luar biasa mereka menentang PSG pada April nanti.
“Ia sesuatu yang gila. Bertahun-tahun usaha keras akhirnya membuahkan hasil. Suku akhir Liga Juara-Juara? Tidak boleh meminta lebih daripada itu,” katanya.
“Kami mahu menulis nama dalam sejarah dan menjadikan malam-malam seperti ini lebih kerap berlaku.”
Villa sebelum ini mengejutkan ramai dengan layak ke Liga Juara-Juara, selepas menamatkan saingan di kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris musim lalu. – AFP