BIRMINGHAM, 28 JAN – Aston Villa mempunyai peluang terakhir untuk mengesahkan kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila mereka menentang Celtic dalam pertembungan penting Battle of Britain, hari ini.
Menuju ke pusingan akhir perlawanan fasa liga, pasukan kendalian Unai Emery menduduki tempat kesembilan dalam carta, di mana lapan teratas secara automatik akan mara terus ke kelompok 16 terakhir.
Pasukan yang menduduki tempat kesembilan hingga ke-24 akan melalui pusingan play-off bagi menentukan lapan kelab terakhir untuk mara.
Villa, yang ketinggalan satu mata di belakang Bayer Leverkusen di tempat kelapan, perlu menewaskan pendahulu Liga Perdana Scotland, Celtic, di Villa Park untuk mengelak play-off.
Mereka hampir melengkapkan tempat 16 terakhir dengan menewaskan Monaco minggu lalu, tetapi dikejutkan dengan kekalahan 1-0 menentang pasukan Ligue 1 itu.
Pemain pertahanan Villa, Tyrone Mings, yakin pasukannya mampu menghadapi tekanan dalam perlawanan kritikal itu.
“Ia bukan tekanan, ia sesuatu yang kami hadapi setiap kali kami melangkah ke padang bola sepak, itu tidak berbeza. Kami menikmatinya,” kata Mings. – AFP