BIRMINGHAM, 6 APRIL – Aston Villa naik ke kedudukan enam teratas Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan 2-1 ke atas pasukan tangga ketiga, Nottingham Forest, dengan jaringan awal dari Morgan Rogers dan Donyell Malen.
Kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan buat pasukan Unai Emery itu meletakkan Villadalam keadaan terbaik menjelang pertemuan dengan Paris Saint-Germain pada Rabu dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara mereka.
Prestasi cemerlang Villa juga menghidupkan peluang mereka untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kedudukan lima teratas Liga Perdana dijangka mencukupi untuk layak ke Liga Juara-Juara, berikutan prestasi hebat pasukan Inggeris dalam pertandingan Eropah musim ini.
Villa kini berada di bawah Manchester City yang menghuni tangga kelima menerusi perbezaan gol dan hanya satu mata di belakang Chelsea di tempat keempat.
“Kami menikmati persaingan di Liga Juara-Juara dan Piala FA, tetapi Liga Perdana adalah yang paling penting kerana melalui liga inilah kami boleh mencapai sasaran kami untuk musim depan,” kata Emery.
Kelebihan Forest ke atas Villa kini tinggal enam mata, meninggalkan pasukan Nuno Espirito Santo perlu bekerja keras dalam baki tujuh perlawanan terakhir mereka untuk memastikan kemaraan ke peringkat elit bola sepak Eropah buat pertama kali sejak mereka menjadi juara pada 1980. – AFP
