Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Villa kembali ke Liga Perdana

    LONDON, 28 Mei – Aston Villa kendalian Dean Smith mengakhiri penantian tiga tahun untuk kembali ke Liga Perdana selepas menewaskan Derby County 2-1 pada aksi final playoff Liga Kejuaraan di Wembley, semalam.

    Selepas setahun tewas perlawanan serupa kepada Fulham, Villa yang dikemudi kapten Jack Grealish meraikan kepulangan semula ke saingan elit bola sepak Inggeris itu yang bernilai sekurang-kurangnya £170 juta.

    Anwar El Ghazi meletakkan Villa di depan menerusi tandukan pada separuh masa pertama sebelum John McGinn memanfaat sepenuhnya kesilapan penjaga gol Derby untuk meledak gol kedua.

    Pemain gantian Derby, Jack Marriott mencemas Villa apabila merapatkan jurang sembilan minit sebelum aksi berakhir tetapi ia tidak menghalang skuad kendalian Frank Lampard itu daripada tewas aksi playoff keempatnya dalam enam musim.

    Bagi Smith, yang ayahnya mengidap penyakit dimensia, ia satu kemenangan yang hebat.

    Putera William dari Britain (dua kiri) dan bekas pemain bola sepak, John Carew, meraikan kejayaan selepas pemain Aston Villa, Anwar El Ghazi menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan akhir bola sepak di antara Aston Villa dan Derby County di Stadium Wembley, London, kelmarin. – AP

    “Saya melawat ayah saya pada Jumaat dan berjaya membuka matanya selama dua minit dan saya berkata kepadanya ‘lepas ini apabila kamu melihat saya, saya akan menjadi pengurus Liga Perdana,” kata Smith kepada Sky Sport.

    “Dia tersenyum dan mengangguk, bagi saya ia sudah mencukupi.

    Grealish pula berkata “Saya tidak mampu berkata-kata. Ia perlawanan yang amat sukar, tetapi apabila saya melihat keadaan sekeliling, saya mempunyai John, Anwar, saya mempercayainya.

    “Maknanya amat besar untuk kembali ke sana, kami tahu tempat di mana sepatutnya kelab ini berada. Saya kekal di sini dan kini kami kembali. Saya mengemudi kelab yang saya minati sejak kecil ke Liga Perdana.”

    Kemenangan Villa melengkapkan slot tiga pasukan dari Liga Kejuaraan ke Liga Perdana musim depan selepas Norwich City dan Sheffield United meraihnya lebih awal. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda