BIRMINGHAM, ENGLAND, 24 JULAI – Pasukan Liga Perdana Inggeris, Aston Villa telah menandatangani pemain antarabangsa Perancis, Moussa Diaby dari Bayer Leverkusen dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak 55 juta euro.
Villa mengumumkan Sabtu lalu bahawa pemain penyerang berusia 24 tahun itu ‘sudah bergabung dengan rakan sepasukannya dalam lawatan mereka ke Amerika Syarikat (AS).’
Kelab Inggeris tersebut tidak memberikan butiran kontrak baharu Diaby tetapi menyatakan bahawa perpindahannya masih ‘tertakluk kepada kelulusan antarabangsa dan visa kerja.’
Diaby mempunyai dua tahun lagi dalam kontraknya bersama Leverkusen, di mana dia tampil menyerlah selepas menyertai pasukan tersebut pada usia 19 tahun daripada kelab kampung halamannya, Paris Saint-Germain, pada tahun 2019.
“Moussa Diaby telah berkembang menjadi pemain hebat semasa di Bayer 04.
“Tahap profesionalisme dan tekad yang ditunjukkannya setiap hari adalah benar-benar luar biasa.
“Moussa telah meninggalkan kesan pada pasukan kami dalam beberapa tahun terakhir dengan gaya permainannya yang istimewa dan kelajuan yang hebat. Dia berada di tempat yang betul,” kata pengarah sukan Leverkusen, Simon Rolfes.
Diaby mencipta 49 gol dan mencipta 48 lagi dalam 173 perlawanan bersaing untuk Leverkusen. Dia telah bermain dalam 10 perlawanan untuk pasukan Perancis.
Leverkusen sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani pemain penyerang Nigeria berusia 22 tahun, Victor Boniface, daripada pasukan Belgium, Royale Union Saint-Gilloise. – AFP
