BIRMINGHAM, 30 JAN – Unai Emery berkata Aston Villa tidak akan menjual Ollie Watkins selepas Arsenal dilaporkan membuat bidaan £60 juta (AS$74 juta) hanya beberapa jam sebelum penyerang England itu membantu pasukannya mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, kelmarin.
Skuad kendalian Emery terselamat daripada sebarang kejutan ketika menentang Celtic untuk menang 4-2 di Villa Park dan mengesahkan kelayakan automatik menerusi penamat tempat kelapan dalam fasa liga.
Mereka mendahului menerusi dua gol Morgan Rogers dalam lima minit pertama, tetapi Adam Idah menjaringkan dua gol dalam masa 145 saat untuk menyamakan kedudukan Celtic sejurus sebelum separuh masa.
Watkins tidak mengendahkan spekulasi mengenai masa depannya ketika dia menyelamatkan Villa dengan serangan klinikal separuh masa kedua untuk bangkit mengembalikan kedudukan mereka.
Pemain berusia 29 tahun itu terlepas sepakan penalti selepas membuat jaringannya, tetapi Rogers melengkapkan hatrik pertama dalam kariernya pada masa kecederaan untuk memastikan Villa mara tanpa bersaing dalam play-off.
Tawaran yang dibuat oleh Arsenal terhadap Watkins adalah tidak sesuai pada masanya dari sudut pandangan Villa, memandangkan perlawanan penting mereka dengan juara Scotland itu.
Menurut laporan selepas perlawanan, Villa telah menolak tawaran Arsenal dan Emery tidak menawarkan insentif kepada The Gunners untuk meningkatkan percubaan mereka bagi membeli pemain yang telah menjaringkan 11 gol dalam 32 perlawanan musim ini.
“Watkins ialah penyerang kami. Saya tahu mereka ingin bertanya mengenainya, tetapi saya memberitahu mereka, hari ini bukan harinya,” kata Emery yang kelihatan kecewa.
Arsenal sedang mencari penyerang selepas Gabriel Jesus mengalami kecederaan lutut penghujung musim. – AFP