GDANSK, 27 MEI – Villarreal berjaya menundukkan Manchester United melalui keputusan sepakan penalti 11-10 untuk memenangi trofi utama kali pertama selepas terikat 1-1 dalam perlawanan sebenar final Liga Europa setelah penjaga gol, David De Gea gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Gerard Moreno meletakkan Villarreal di hadapan pada minit ke-29 tetapi Edison Cavani berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua sebelum pasukan bimbingan Unai Emery mencatatkan kemenangan menerusi penentuan penalti sekali gus melanjutkan kemarau empat tahun United menjulang trofi.
“Pemain-pemain merasa kecewa. Itulah bola sepak. Kadangkala ia ditentukan dengan hanya satu sepakan – dan perbezaan antara menang dan kalah,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.
“Kami mesti belajar daripadanya. Merasakan keperitan ini dan memastikan kami tidak akan merasakannya pada masa akan datang.”
Dia menambah, “Kami tidak beraksi dengan baik. Kami tidak beraksi seperti yang kami mampu bermain.”

Pemain tengah Villarreal, Francis Coquelin gembira dengan kemenangan tersebut dan melayakkan mereka mendapat slot di Liga Juara-Juara musim hadapan.
“Perasaan yang sangat baik. Bermain dengan pasukan yang hebat seperti Manchester United, kami tahu ia akan menjadi sengit,” Coquelin memberitahu BT Sport.
“Kami tidak berjaya mendapatkan tempat di Liga Juara-Juara semasa saingan liga jadi untuk menjuarai Liga Europa adalah sesuatu yang istimewa dan kejuaraan pertama buat kelab adalah sesuatu yang luar biasa.”
Eric Baily menggantikan Harry Maguire yang mengalami kecederaan di bahagian tengah pertahanan, namun ketua pasukan United dimasukkan dalam senarai pemain gantian meskipun mengalami kecederaan dua minggu lalu.
De Gea memulakan perlawanan di hadapan Dean Henderson, sementara Paul Pogba diletakkan di bahagian tengah sementara Fred dilihat berada di bangku simpanan. – AFP