DOHA, QATAR, 29 MAC – Maverick Vinales (gambar) yang bakal menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya, memenangi perlumbaan pembuka tirai MotoGP Qatar semalam dengan pasukan Yamaha, diikuti oleh pelumba Ducati, Johann Zarco di tempat kedua walaupun dalam keadaan berangin dan berpasir.
Pelumba Itali, Bagnaia buat pertama kali telah meraih tempat ketiga selepas memulakan perlumbaan di petak utama, menewaskan juara bertahan Joan Mir dari pasukan Suzuki di saat-saat akhir perlumbaan.
“Saya dapat merasakan potensinya, saya menghadapinya dengan tenang. Saya cuba bertindak dengan bijak dan tenang,” kata Vinales, 26 selepas meraih kemenangan itu.
“Saya cuba menjadi lebih bijak. Akhirnya saya dapat mencari ruang dan saya cuba mendapatkan lebih kuasa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, terutama ahli keluarga terdekat.
“Kamu tahu isteri saya sedang menanti kelahiran anak damit kami,” tambah Vinales yang mengahwini teman wanitanya Raquel dan mengumumkan awal bulan ini bahawa pasangan itu sedang menimang cahaya mata pertama.
Vinales mengatasi permulaan perlahan yang menyaksikan dia dan jentera Yamaha lain ditinggalkan Ducati, tetapi bangkit semula mengekori rapat jentera Itali itu.
Beliau menerajui perlumbaan ketika berbaki lapan pusingan sahaja lagi, memintas Bagnaia manakala Mir mara ke tangga keenam ketika perlumbaan berbaki empat pusingan selepas bermula dari petak ke-10.
Berbaki satu pusingan, Vinales menjarakkan diri manakala Zarco, Bagnaia dan Mir bersaing merebut penamat podium.
Manakala dalam saingan Moto2, Sam Lowes yang menunggang jentera Kalex, muncul pemenang menjadikannya pelumba British pertama memenangi perlumbaan pembukaan sejak tahun 1979.
Jaume Masia memenangi perlumbaan Moto3 mengatasi rakan senegara Sepanyol dan rakan sepasukan KTM, Pedro Acosta. – AFP