Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Vincent Mah menerima durian runtuh apabila diumumkan sebagai pemenang utama sekali gus memandu pulang sebuah Mitsubishi ASX dalam Promosi ‘Shop, Win & Drive a Mitsubishi ASX’ yang dianjurkan oleh Bank Baiduri dengan kerjasama Gedung Perniagaan Hua Ho.
Vincent Mah berasa terkejut atas kemenangannya itu dan tidak menyangka sama sekali yang beliau akan pulang dengan membawa sebuah kereta baharu kerana beliau hanya menyangka untuk memenangi hadiah sagu hati sahaja.
Manakala itu, hadiah kedua berupa baucar membeli-belah bernilai $1,500 dimenangi oleh Ryan Heger dan Awang Sapawi Hamdan membawa pulang baucar bernilai $1,000 selaku pemenang ketiga. Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di pusat membeli-belah di Sungai Hanching itu turut menyaksikan tiga orang pemenang bertuah membawa pulang baucar membeli-belah bernilai $500 dan lima orang lagi menerima baucar bernilai $300.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Lau Soon Lin mewakili Gedung Perniagaan Hua Ho.
Promosi yang bermula awal Mei hingga awal Julai tersebut memberikan peluang kepada para pelanggan yang membelanjakan sekurang-kurangnya $50 dalam satu resit pembelian dan membayar menggunakan kad kredit atau debit Baiduri di cawangan Hua Ho terlibat untuk memenangi kereta Mitsubishi ASX dan hadiah-hadiah lumayan lain.Pengiran Azaleen menjelaskan bahawa kerjasama yang telah lama terhasil antara Bank Baiduri dan Gedung Perniagaan Hua Ho itu telah memperlihatkan banyak kejayaan dan promosi pada kali ini merupakan salah satu cara bagi kedua-dua pihak membalas jasa para pelanggan setia mereka dan berharap agar kerjasama seumpamanya dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

