HANOI, 27 NOV – Pengeluar kenderaan elektrik Vietnam, VinFast, melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$550 juta bagi suku ketiga, lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu berikutan peningkatan dalam jualan.
Pengeluar kereta tempatan pertama di negara komunis itu berhasrat untuk bersaing dengan gergasi EV global seperti Tesla.
Saham VinFast mengalami turun naik yang ketara sejak disenaraikan di Nasdaq pada Ogos 2023, pada satu ketika mencatat nilai pasaran yang lebih besar daripada Ford dan General Motors sebelum merosot semula.
Lewat kelmarin, VinFast menyatakan kerugian bersih suku ketiga menurun sebanyak 14.8 peratus berbanding tempoh Julai-September tahun lalu, menurut keputusan kewangan tanpa audit.
Syarikat itu melaporkan penghantaran hampir 22,000 kenderaan pada suku tersebut, peningkatan tahunan sebanyak 115 peratus.
Hasil pendapatan untuk suku ketiga pula mencecah AS$511 juta, lonjakan tahunan sebanyak 49 peratus.
“Kami menjangkakan untuk mengakhiri tahun 2024 dengan pencapaian kukuh dan memenuhi sasaran penghantaran 80,000 kenderaan,” kata Pengerusi VinFast, Thuy Le, dalam satu kenyataan.
VinFast tahun lalu melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$2.39 bilion, meningkat 14.7 peratus berbanding 2022.
Dengan 173 bilik pameran di seluruh dunia, syarikat itu sedang berusaha menembusi pasaran di Asia, Timur Tengah, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.
Syarikat tersebut dijadualkan membuka kilang baharu di Subang, Indonesia dan negeri Tamil Nadu di selatan India pada tahun depan.
Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pham Nhat Vuong dan kumpulan induk Vingroup mengumumkan suntikan dana baharu sebanyak AS$3.5 bilion ke dalam syarikat itu. – AFP