Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    VinFast rugi AS$712 juta walaupun jualan meningkat

    HANOI, 10 JUN – Pengeluar kenderaan elektrik (EV) pertama Vietnam, VinFast, melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$712 juta untuk suku pertama tahun ini, walaupun berlaku lonjakan ketara dalam penghantaran kenderaan.

    Syarikat yang disokong oleh konglomerat besar Vingroup itu bercita-cita menyaingi pemain gergasi seperti Tesla, namun masih berdepan cabaran besar dalam menembusi pasaran antarabangsa.

    VinFast berkata mereka telah menghantar 36,330 EV dari Januari hingga Mac, satu peningkatan sebanyak 296 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Hasil pendapatan pula mencecah AS$656.5 juta, meningkat hampir 150 peratus.

    Pengerusi VinFast, Le Thi Thu Thuy, menyifatkan peningkatan itu sebagai ‘permulaan yang memberangsangkan untuk 2025’, walaupun pasaran global masih tidak menentu.

    Namun, syarikat itu masih mengalami kerugian besar, berikutan pelaburan awal dan usaha menembusi pasaran asing. Tahun lalu, VinFast rugi lebih AS$3 bilion, walaupun penghantaran hampir tiga kali ganda.

    Keadaan diburukkan lagi oleh ketegangan perdagangan global, terutamanya selepas Presiden AS Donald Trump melancarkan siri tarif pada April, yang mengancam eksport Vietnam. Hanoi kini sedang berunding dengan Washington untuk mengelakkan tarif 46 peratus yang dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi Vietnam. – AFP

    Gambar fail menunjukkan EV dipamerkan di bilik pameran VinFast di Hanoi pada 29 September 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda