DOHA, 18 DIS – Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior memenangi anugerah pemain lelaki Terbaik FIFA pada satu majlis di Doha kelmarin.
Anugerah itu diberikan dua bulan selepas Vinicius yang berusia 24 tahun berada di tempat kedua dalam Ballon d’Or.
Pemain Brazil tampil menerima anugerah berkenaan sendiri memandangakan beliau berada di Qatar bersama kelabnya menjelang pertembungan akhir Piala Antara Benua menentang Pachuca dari Mexico hari ini.
“Terima kasih banyak-banyak. Saya tidak tahu hendak mula dari mana. Mustahil untuk memikirkan untuk sampai ke sini. Saya dibesarkan dalam dunia kemiskinan, jenayah terancang. Ini adalah untuk semua kanak-kanak yang membesar di dunia seperti itu. Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi saya,” kata Vinicius di atas pentas.
“(Terima kasih) Kepada keluarga saya, kepada kelab, kepada rakan sepasukan saya, kepada Carletto (jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti), yang sentiasa membantu saya.
“Kepada semua orang yang membantu merealisasikan impian saya. Saya berharap untuk berada di Madrid selama bertahun-tahun, kerana ia adalah kelab terbaik di dunia. Kepada Flamengo (kelab pertamanya di Brazil). Kepada rakan sepasukan saya dalam pasukan kebangsaan saya dan kepada negara saya, yang sentiasa menyokong saya dalam kerja saya.”
Vinicius menggantikan Lionel Messi sebagai pemain lelaki Terbaik FIFA selepas pemain Argentina itu te;ah memenangi dua edisi terakhir anugerah itu.
Penyerang langsung itu menjaringkan 24 gol dan melakukan 11 bantuan dalam 39 perlawanan merentas semua pertandingan ketika dia membawa Real memenangi kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Setelah menamatkan kejuaraan La Liga ketiganya pada Mei, Vinicius memperoleh trofi Liga Juara-Juara kedua dalam kariernya ketika Real menewaskan Borussia Dortmund 2-0 pada 1 Jun lalu.
Beliau juga adalah penjaring terbanyak bagi pemenang Liga Juara-Juara dengan enam gol dalam pertandingan berkenaan termasuk gol pada perlawanan akhir dan dua gol dalam kemenangan agregat 4-3 Madrid ke atas Bayern Munich pada separuh akhir.
Beliau juga menjaringkan hatrik dalam kemenangan 4-1 dalam perlawanan akhir Supercopa menentang musuh ketat, Barcelona pada Januari lalu.
Tetapi ia bukan semuanya mudah Vinicius kerana dia mengharungi Copa America yang mengecewakan bersama Brazil pada musim panas.
Beliau menjaringkan dua gol dalam kemenangan peringkat kumpulan menentang Paraguay, namun Brazil tersingkir menerusi sepakan penalti kepada Uruguay pada suku akhir. – AFP